Arab Sepakat Islam Berdaulat?

Maka satu persidangan pun berlangsung yang mengumpulkan para nasionalis-agamawan dari seluruh dunia bagi mencari formula penyatuan ummah. Dewan persidangan tersergam indah dan megah. Di lobi hotel di mana pertemuan itu diadakan kelihatan pelbagai pameran sejarah dan kebudayaan yang mewakili negara-negara terlibat. Kilauan kamera berkelip-kelip tanpa henti memenuhi ruang mesyuarat.

“Bangsa Arab,” tegas perwakilan pertama dari sebuah negara Timur Tengah, “adalah juga bangsa Nabi s.a.w. Bahasa Arab adalah bahasa al-Qur’an dan bahasa syurga. Dua kota suci umat Islam terletak di negara Arab. Sejarah panjang kegemilangan Islam bermula di Semenanjung Tanah Arab. Para khalifah ar-rasyidin juga berketurunan Arab. Selepas itu Islam terus menempa tinta emas melalui khalifah-khalifah daripada Dinasti Umaiyah dan Abasiyyah.”

“Oleh itu, saya mencadangkan agar perpaduan umat Islam menjadikan kesatuan bangsa Arab sebagai tiangnya,” hujah perwakilan tersebut, lalu melaungkan slogan, “Arab sepakat Islam berdaulat.”

Dewan menjadi hingar-bingar. Para peserta mula bercakap sesama mereka dengan nada yang tidak senang, seolah-olah menzahirkan ketidaksetujuan mereka terhadap usul tersebut.

“Mari kita kenangi warisan agung khilafah Islam,” ujar seorang perwakilan dari Turki, “bagaimana ia dikekalkan dan dijaga rapi sehingga keruntuhannya di tangan musuh-musuh Islam. Ingati khalifah terakhir adalah dari Turki Uthmaniyyah yang melindungi Islam pada waktu-waktu sukarnya. Justeru saya mengesyorkan kesatuan ummah mengambil kesatuan bangsa Turki sebagai paksinya.”

“Turki sepakat Islam berdaulat,” laungnya.

Ruang sidang terus hiruk-pikuk. Beberapa peserta lain telah mula berdiri untuk mengeluarkan pandangan masing-masing.

“Para perwakilan sebelum ini hanya bercakap tentang kerajaan-kerajaan yang baru ditubuhkan kurang 2000 tahun lampau,” seorang perwakilan sempat memotong antara perwakilan-perwakilan lain yang tidak sabar lagi mahu bersyarah, “tetapi empayar Parsi adalah sebuah dinasti sejak zaman purbakala.”

“Oleh itu wajarlah kita merangka perpaduan ummah berteraskan kegemilangan kami bangsa Parsi,” tambahnya tanpa menghiraukan suara-suara lain yang tidak menyenangi kandungan pidatonya.

“Parsi sepakat Islam berdaulat,” dia berteriak dengan penuh semangat.

“Empayar China pun merupakan kerajaan yang telah wujud sejak purbakala,” sampuk seorang wakil dari Tanah Besar China, lantas dia bertempik kuat, “Cina sepakat Islam berdaulat.”

Situasi sudah menjadi tidak terkawal. Kelihatan beberapa peserta bertikam lidah. Setiap daripada mereka cuba bercakap menerusi mikrofon untuk menegakkan buah fikiran masing-masing, untuk mempertahankan bahawa bangsa merekalah yang terbaik.  Pengerusi majlis yang berada di tengah-tengah kegawatan tersebut turut menggelabah.

“Ahli-ahli persidangan sekalian diminta bertenang,” lelaki separuh usia yang mengetuai acara pada hari itu berseru. Namun suaranya lenyap ditelan suasana dewan yang kacau-bilau.

“Ahli-ahli diminta bertenang!” dia berpekik. Para perwakilan terdiam sebentar akibat terkejut oleh suara garau yang nyaring itu. Mereka memandang sesama mereka lalu menumpukan perhatian terhadap pengerusi majlis.

“Disebabkan keadaan menjadi agak kecoh,” dia melafazkan kata, “adalah baik untuk kita berehat sebentar. Para hadirin boleh turun ke lobi untuk menikmati sedikit jamuan ringan. Kita akan menyambung semula persidangan 30 minit dari sekarang.”

Suasana menjadi tenang semula ketika para peserta menghadap hidangan yang disediakan. Menu yang disajikan datang dari seluruh pelosok dunia mewakili budaya para peserta, beraneka bentuk dan juga rasa.

“Kita perhatikan pada zaman ini Islam dihimpit dari setiap penjuru,” seorang perwakilan memberikan syarahan selepas waktu rehat tamat, “musuh-musuh Islam semuanya bersatu tenaga demi memusnahkan agama kita. Kita sebagai umat Islam wajib berganding tangan bagi menempuhi tribulasi sebegini menerusi perpaduan yang kukuh dan utuh.”

“Maka saya menyarankan perpaduan ummah yang ingin kita bina ini didasarkan pada kesatuan bangsa India, kerana bangsa India adalah warisan kerajaan Mughal yang mendaulatkan Islam di benua kecil India.”

Dia melanjutkan bicara tanpa memberi laluan peserta lain mencelah, “Kerajaan Mughal India pernah menjadi antara salah satu empayar terbesar di dunia, dan berbeza dengan empayar Parsi atau China, ia adalah kerajaan Islam. Selain itu kami menghidupkan kegiatan dakwah menerusi tabligh yang sehingga kini begitu berkesan menyebarkan syiar Islam ke serata dunia. India sepakat Islam berdaulat.”

Ruang bersidang menjadi gegak-gempita seperti tadi. Ketenangan yang tercipta buat sementara sebelumnya bagai batu jatuh ke lubuk, terus lupus dan pupus, sehinggalah seorang perwakilan yang berkulit putih berdiri dan berucap dengan lantang serta tegas.

“Sehingga saat ini kita hanya bercakap tentang sejarah,” ujarnya.

“Yang lepas biarkan berlalu. Waktu lampau tidak akan dapat kembali kepada kita. Yang paling penting ialah masa kini,” dia meneruskan pidatonya. Beberapa peserta lain, mungkin sudah jemu dengan perbincangan berkenaan bangsa yang tiada penghujungnya, kelihatan mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju.

“Oleh yang demikian,” nadanya bertukar secara tiba-tiba, raut mukanya dilimpahi sinar bangga, “saya merasakan adalah perlu perpaduan ummah ditegakkan berlandaskan kesepakatan bangsa Eropah-Amerika, kerana kamilah yang pada waktu ini menerajui tamadun dan teknologi dunia. Eropah-Amerika sepakat Islam berdaulat.”

Dewan bergegar semula. Bunyi boo memenuhi kamar mesyuarat. Kini antara perwakilan tiada lagi perbahasan secara rasional. Yang ada cuma cercaan dan maki hamun ditujukan terhadap satu sama lain. Tiada lagi tatatertib majlis. Di satu bahagian beberapa peserta dari benua Afrika turut mahu bercakap di hadapan sidang tetapi dihalang oleh para perwakilan yang duduk berhampiran dengan mereka.

Tiba-tiba gema gelombang mikrofon mengaum, membingitkan telinga semua yang ada di situ. Beberapa saat selepas itu terdengar satu laungan yang teramat sayup:

“Melayu sepakat Islam berdaulat.”

Keheningan menyimpul buat seketika.

“Melayu?” tanya seorang peserta dengan mata terkebil-kebil, “itu bangsa dari mana?”

“Singapura… rasanya,” satu suara menjawab.

“Malaysia,” seorang di kalangan mereka membetulkan.

“Oh, ok, usah pedulikannya,” tingkah satu suara lain, “mari kita sambung perdebatan kita.”

Ruang persidangan pun riuh-rendah kembali.

 

‘…tiada kelebihan bagi Arab ke atas ‘Ajam (bukan Arab), dan tiada kelebihan bagi ‘Ajam ke atas Arab. Tiada kelebihan bagi merah ke atas hitam dan tiada kelebihan bagi hitam ke atas merah kecuali taqwa.’

(Riwayat Ahmad dan Baihaqi)

 

Harakah 26 – 29 Mac 2012 & 30 Mac – 1 April 2012

This entry was posted in Cerpen.

2 comments on “Arab Sepakat Islam Berdaulat?

  1. madihah ahmad berkata:

    Maaf, jangan terlalu mudah dalam memahami fikrah perjuangan jemaah lain. fikrah yang isma bawa bukanlah semudah yg disebutkan di atas, kaji dan cuba memahaminya dgn baik.robbuna yusahhil.

Tinggalkan komen