10 Tahun Kemudian

Matahari semakin rendah di ufuk barat. Cahayanya menjadi oren dan suam ketika angin bertiup lembut. Beberapa waktu lagi ia akan terbenam dan bersembunyi di belakang banjaran yang merentang jauh ke selatan.

Lelaki berwajah cengkung itu tidak tahu apa yang ada di sebalik barisan pergunungan tersebut. Hubungan dengan dunia di sebelah sana telah lama terputus. Kakinya melangkah lengah melalui jalan lama yang kecil dan berlubang-lubang. Di sekelilingnya pemandangan suram terbentang. Semak-samun mengiringinya di sepanjang lorong tersebut. Kelihatan rumah-rumah yang telah ditinggalkan, yang pagarnya sudah dinaiki tumbuh-tumbuhan memanjat. Sebahagian daripadanya kini tinggal runtuhan. Di pekan yang mati, segalanya bagai kaku dalam udara kering.

Dia membuka pintu gubuk buruknya. Bunyi batuk yang berpanjangan menyambut kepulangannya. Suasana di ruang tamu kelam. Sedikit panik, langkahnya terus menuju ke arah datangnya suara sengsara itu.

Di atas katil terbujur sesusuk tubuh yang mengerikan. Kepalanya dua kali ganda besar daripada sepatutnya. Biji matanya terjulur ke hadapan seperti ingin tersentap keluar. Bibirnya sumbing mendedahkan barisan gigi meskipun mulutnya tidak dibuka. Lehernya membengkak. Di bahagian belakang badannya kelihatan satu ketumbuhan bersaiz bola tenis yang berwarna merah kegelapan seakan-akan mahu pecah memancutkan darah dan nanah. Tangan dan kakinya sentiasa terlipat, terlalu lemah serta rapuh. Namun pada lelaki itu ia tidak lagi menggerunkan – kerana manusia itu adalah anaknya sendiri.

“Ti…” ratapnya sebak sambil mendakap anak perempuannya. Dapat dirasakan betapa longlai dan dingin tubuh dalam pelukannya. Nafas yang tadi termengah-mengah sedikit demi sedikit kembali tenang. Dilabuhkan semula jasad berkenaan ke tengah katil. Tangannya membelai rambut yang terurai di hadapannya. Ti bagai ingin menyatakan sesuatu tetapi suaranya tidak keluar. Wajahnya pucat lesi. Sekali lagi, dia membelai rambut gadis kecil itu, mengucup dahinya lalu beredar.

Dia duduk di atas sebuah sofa di ruang tamu. Kusyen usang itu tidak lagi empuk. Matanya merenung kosong ke dinding. Kepingan-kepingan cat telah tercabut di beberapa bahagian, menerbitkan campuran warna kusam. Diubah kedudukan agar tubuhnya dapat bersandar. Matanya dipejamkan.

Bunyi batuk yang berlarutan mengejutkannya. Dia bingkas berlari ke bilik anaknya. Mujur kali ini nafasnya tidak tercungap. Dadanya kemudian tenang semula. Dari muka pintu kamar, diperhatikan raut wajah Ti. Tidurnya kelihatan tenang dan sentosa. Dia tidak pernah mengerti tentang dunia luas di luar sana, kerana semua peristiwa bukan berlaku pada zamannya. Dia tidak pernah tahu siapa yang perlu dipersalahkan; dia hanyalah penerima segala akibat.

Lelaki berwajah cengkung itu kembali semula ke ruang tamu. Punggungnya dilabuhkan semula ke sofa tadi. Sekali lagi matanya merenung kosong ke dinding. Di satu penjuru terdapat kotak televisyen yang tidak lagi berfungsi. Pandangannya tersangkut ke situ. Dalam keheningan yang membebankan itu ia seolah-olah hidup kembali, mengeluarkan gambar dan ucapan. Skrinnya seakan memancarkan cahaya tidak ubah seperti 10 tahun lampau, menyiarkan cerita dan berita.

“Kita telah menjalankan kajian secara terperinci,” satu suara berkumandang, “dan kesimpulan yang kami terima adalah kadar radiasi yang dihasilkan amatlah rendah untuk mengakibatkan sebarang masalah kesihatan terhadap masyarakat sekitar.”

Dengan gelaran professor terpapar di bahagian bawah kaca televisyen, lelaki berkenaan menyambung lagi dengan penuh yakin, “Kami akan terus mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa.”

Kelihatan apa yang dinyatakan oleh tokoh akademik itu hanyalah ulangan demi ulangan daripada penegasan menteri-menteri yang membuat ulasan yang serupa sejak beberapa hari sebelumnya. Semuanya menekankan bahawa projek itu akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk sekeliling, lalu diikuti dengan jaminan bahawa ia adalah seratus peratus selamat.

“Kami telah mengadakan pelbagai perbincangan dengan pakar-pakar yang berkaitan dan mendapati bahawa loji yang akan dibina ini selamat untuk orang ramai,” ujar seorang menteri, “kami sentiasa memastikan kepentingan umum menjadi keutamaan kami.”

Banyak pihak membantah pembinaan loji tersebut, tetapi bangkangan mereka tidak pernah tersiar di kaca televisyen. Media utama cuma menzahirkan segala yang baik. Buat mereka yang hanya menonton televisyen dan membaca akhbar yang diterbitkan oleh kerajaan pusat seolah-olah ia sebuah wahyu, khabar sedemikian tidak ubah seperti berita-berita biasa yang lain.

Lelaki berwajah cengkung melepaskan keluhan panjang. Tiada lagi batuk-batuk kedengaran dari bilik Ti. Di dalam matanya terbayang kembali bagaimana dia menyertai demonstrasi membantah rancangan pembukaan loji itu. Mereka memakai baju yang sama, membawa sepanduk dan melaungkan slogan anti-nuklear. Dia masih ingat bagaimana mereka dikejar polis dan menerima gas pemedih mata. Dia masih ingat bagaimana sebahagian daripada mereka ditangkap dan disumbat ke dalam lokap. Mesej yang cuba mereka sampaikan terus dibisukan oleh golongan yang memegang tampuk pemerintahan.

Akhirnya pembinaan reaktor diteruskan, meninggalkan masyarakat di sekitar dalam ketakutan yang mencengkam. Mereka yang peka wajar membimbangi perkembangan itu, kerana bencana boleh terjadi bila-bila masa sahaja sejak wujudnya loji berkenaan. Mereka yang tidak peka pula terus dihanyutkan dengan kesibukan terhadap aneka jenis rancangan hiburan, wang ringgit dan kekasih.

Hatinya dirisaukan oleh kedua-duanya – pada malapetaka yang akan berkunjung dan juga pada mereka yang tidak peduli akan malapetaka yang akan berkunjung.

Kegusarannya tidak perlu menunggu lama untuk membuahkan kenyataan. Hanya setahun selepas pembinaan siap, berlaku satu letupan besar di reaktor tersebut. Apalah yang diharapkan kepada kerajaan yang membaiki atap parlimen pun boleh bocor dan membina stadium serta jambatan pun boleh runtuh.

Seperti biasa, pihak berkuasa mengeluarkan berbagai-bagai kenyataan untuk mengukuhkan bahawa semuanya berada dalam kawalan dan tiada kerosakan serius berlaku. Namun khabar angin tersebar bahawa terdapat kebocoran di loji tersebut. Pada waktu sinaran radioaktif berskala tinggi telah merebak hampir ke seluruh negara kecil ini, semuanya sudah terlewat untuk rakyat biasa seperti dirinya. Sementara para elit dan pemimpin kerajaan awal-awal lagi telah melarikan diri ke luar negara.

Dunia yang dikenalinya tidak lagi seperti dahulu. Ia menjadi huru-hara. Dalam tempoh beberapa tahun berikutnya berjuta-juta rakyat mati akibat terdedah kepada pencemaran nuklear yang dahsyat. Ini diikuti pula dengan pelbagai jangkitan, wabak penyakit, kacau-bilau dan kebuluran. Buminya yang subur tidak lagi mengeluarkan hasil dan buah-buahan. Bau bangkai haiwan ternakan memenuhi persekitaran. Sempadan ke negara lain telah ditutup – mereka tidak mampu lari lagi.

Dia memerhatikan seorang demi seorang manusia yang dikenalinya dikebumikan, termasuk isterinya yang pada ketika itu mengandungkan anak pertama mereka. Ti sempat dilahirkan tetapi isterinya tidak lagi dapat melihat dunia. Ti lahir untuk menderita dengan segala jenis kecatatan akibat sinaran radioaktif.

Sekali lagi bunyi batuk merenggut lamunannya. Kali ini ia berlarutan lebih lama dan lebih menggentarkan. Dia bergegas mencari anak perempuannya. Dia mendakap jasad kecil itu. Batuknya bertalu-talu. Lelaki itu diserang ketakutan. Tiba-tiba darah berhamburan dari mulut Ti. Bajunya basah dengan darah. Selepas satu erangan keras, tubuh kerdil itu menjadi layu. Ia kaku buat selamanya. Ti telah menghembuskan nafas yang terakhir.

Bersama air mata bercucuran, lelaki berwajah cengkung itu menutup kelopak mata anaknya. Dahinya yang masih hangat dikucup. Lalu dia berbisik lesu, “Berehatlah, anakku. Ayah akan turut menyusulmu.”

Harakah, 2–  5 Muharram 1433 / 28 November – 1 Disember & 6 – 8 Muharram 1433 / 2 – 4 Disember 2011

This entry was posted in Cerpen.

Tinggalkan komen